Sabtu, Januari 24, 2009

SATU IMAN SATU TUJUAN

Segala hormat dan kemuliaan diberikan kepada Tuhan Yesus Kristus kerana rencanaNya sehingga PGKS wujud di bumi Sabah dan kini melangkah ke era baru iaitu dengan memiliki blog sendiri sebagai wadah interaktif dengan para ahli, guru-guru seiman, pemimpin gereja, pelajar Kristian dan semua organisasi Kristian. Sebagai pembuka bicara, dipaparkan sejarah sepintas lalu tentang kewujudan dan perkembangan PGKS.
Semuanya bermula dari visi yang Tuhan berikan kepada Puan Leong Tuan Ghee selaku setiausaha agung Scripture Union Sabah untuk memikirkan bahawa perlunya guru-guru Kristian di Sabah dikumpulkan. Pada 14-17 Nov 1994, Scripture Union Sabah dengan persetujuan Majlis Gereja-Gereja Sabah telah menganjurkan Retret Guru-Guru Kristian Sabah. Retret ini dihadiri sekitar 60 orang guru dari seluruh Sabah, pelbagai kaum dan denominasi. Pengkotbah utama pada masa itu ialah Rev.Fred David dan Yapin Gimpoton sementara dirasmikan oleh Datuk Arun Selutan selaku Presiden Majlis Gereja-Gereja Sabah pada waktu itu. Retret yang berlangsung selama 3 malam itu telah dilawat Tuhan dengan ajaib. Roh Allah telah menyentuh hati semua peserta. Semua guru diperhadapkan dengan makna panggilan sebenar dan pelayanan di ladang yang sangat besar. Akhirnya dengan tangisan penyerahan hidup yang total, semua guru benar-benar merasakan betapa perlunya sebuah organisasi ditubuhkan. Pada hari terakhir Persekutuan Guru-Guru Kristian Sabah (PGKS) ditubuhkan dengan terbentuk majlis penaja pada waktu itu yang dipengerusikan oleh Cikgu Saun Angkut dari SIB (sekarang beliau bertugas di Miri)
Masa berlalu dengan pantas. Pada Januari 1995, MGGS meluluskan permohonan PGKS untuk menjadi Komiti Berfungsi di bawah MGGS. Justeru pada Mei 1995, Retret PGKS dianjurkan sekali lagi bagi keperluan mengadakan Mesyuarat Agung. Dalam pemilihan tersebut komiti rasmi dibentuk dan sekali lagi saudara Saun dipilih sebagai pengerusi. Bermula dari itu, beberapa siri retret diadakan khususnya bertujuan pemantapan organisasi misalnya merangka perlembagaan, penstrukturan pentadbiran, pengurusan kewangan dan sebagainya.
Pada tahun 1997, PGKS mengadakan konvensyen yang pertama di mana PGKS Pitas menjadi tuan rumah. Pada pemilihan tersebut, En.Maklin Masiau dipilih sebagai pengerusi PGKS Sabah (sehingga sekarang). Sejak itu PGKS terus berkembang dan wujud cawangan di Kudat, Pitas, Kota Marudu, Kota Kinabalu, Penampang, Keningau, Nabawan, Ranau, Sandakan, Tuaran dan tempat lain. Berpuluh siri kem untuk pelajar telah dianjurkan di serata Sabah, perjumpaan pengetua dan sebagainya. PGKS juga mula melebarkan pelayanan dalam Tabung Pendidikan PGKS-SU. Kini PGKS menumpukan kepada pelayanan Tunas Misi, Kem Sahabat, Kem IPT, Joy Centre, Perkampungan, Lawatan dan aktiviti lain.
Kini PGKS menjangkau usia 15 tahun wujud di Sabah. Banyak sekali tanggungjawab yang Tuhan percayakan kepada PGKS. Dengan kemampuan masa, tenaga dan wang yang terhad, PGKS terus melangkah memenuhi amanat AgungNya melalui motto Satu Iman Satu Tujuan.